Saturday, April 26, 2008

FITRAH INSAN

Cinta Allah Fitrah Insan

Mohd Razlan Abdul Razak

Hati yang hidup ialah hati yang mencintai Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, dia mencintai Islam kerana kehidupan Islam ialah kehidupan yang ditunjuki oleh Allah. Barangsiapa mencintai kehidupan Islam maka dia mencintai kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat radiallahu anhum. Kehidupan mereka merupakan tafsiran ajaran Islam secara praktikal. Mereka merupakan lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan sejati yang pernah dilahirkan di dunia ini. Mereka juga adalah generasi yang membangunkan dunia dengan kecintaan kepada Allah SWT dan membawa kebahagaian kepada kehidupan manusia dan alam.

Apabila kita menyebut tentang cinta Allah, ianya mestilah bertempat di hati sebab hati dicipta untuk merasai dzauqi atau kelazatan menghayatinya. Hati juga tempat makrifat, tempat iman, tempat rindu. Hati ini dikategorikan oleh Ulama Sufi kepada 4 peringkat, iaitu (1) Hati yang lalai kepada Allah, (2) Hati yang ingat kepada Allah, (3) Hati yang asyik dengan Allah, dan (4) Hati yang makrifat kepada Allah.

Pada hari ini, kebanyakan ulama, para pendakwah atau orang awam memiliki hati yang berada pada tahap pertama, iaitu hati yang lalai dengan Allah SWT. Ini dapat dilihat dalam kehidupan mereka yang tidak menunjukkan mereka cinta kepada Allah, bersungguh dalam ibadah dan mujahadah serta sentiasa memelihara diri daripada perkara-perkara yang haram, syubhah dan makruh. Mereka juga tidak berhati-hati dalam perkataan, penglihatan serta pendengaran yang akibatnya hati mereka bertambah keras dan rosak.

Berapa ramai ulama yang bercakap tentang takut kepada Allah tetapi sanggup menyembunyikan kebenaran kerana takutkan manusia. Mereka juga dinukilkan oleh Allah sebagai orang yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan duniawi. Ada juga di kalangan para pendakwah yang bercakap tentang ayat-ayat Allah tetapi kadang-kala mereka menjual ayat-ayat Allah demi mendapatkan keuntungan, kemasyhuran, pengikut yang ramai serta pujian dari manusia lain. Mereka sebenarnya orang-orang yang mati hatinya daripada perasaan cintakan Allah. Manakala orang awam, kehidupan mereka dibelenggu oleh kesibukan mencari harta, pangkat dan mencintai kaum keluarga diatas hawa nafsu sehingga melalaikan mereka daripada Allah SWT.

Manusia wajib mencintai Allah. Ia adalah perkara fitrah kerana asal roh manusia datang dari Allah. Ketika di alam arwah, manusia telah mengaku bahawa Allah adalah tuhan mereka dan tiada yang lain dalam cintanya, zikirnya, ingatannya, pujaannya, semuanya adalah untuk Allah SWT semata-mata. Mereka sudah berilmu dan mengenal Allah dengan pengenalan yang hakiki. Apabila manusia itu lari dari fitrah dan tidak menghalakan roh dan hati mereka untuk mencintai Allah, mereka sebenarnya meronta-ronta untuk kembali kepada Allah, untuk mengenal Allah, mencintai Allah atau Rabbnya kerana itulah fitrahnya.

Namun kehidupan dunia yang hanya membawa halangan dan rintangan kepada diri seseorang untuk terbang ke hadrat Ilahi telah menyebabkannya menderita kerana mencintai dunia yang bukan fitrahnya. Ketahuilah, sesiapa yang cuba menentang fitrah dengan tidak mencintai Allah, sebaliknya mencintai dunia atau yang lain, ia akan menderita.

Ramai manusia yang mempunyai atau memiliki kekayaan tetapi sedikit yang memiliki kebahagiaan. Kebahagiaan itu hanyalah apabila roh atau hati kembali kepada Allah. Ibarat seekor ikan yang dilepaskan kembali ke lautan atau nseekor burung yang tinggal di dalam sangkar emas kemudian dibukakan sangkar hingga ia kembali mendapat kebebasan. Walaupun tinggal di dalam sangkar emas, hakikatnya burung itu tidak mendapat kebebasan. Begitu juga dengan roh. Jangan biarkan roh kamu terkurung di dalam sangkar emas (dunia dan hawa nafsu), walaupun ia kelihatan cantik tetapi ia bukan kebahagiaan hakiki.

Ramai manusia menyangka apabila mereka kembali kepada Allah, mereka akan terpenjara dan hidup terkongkong kerana dikawal oleh peraturan-peraturan Allah. Sedangkan ianya merupakan satu kunci untuk roh bebas terbang kepada Allah SWT. Apabila mereka menjauhkan diri atau melanggar peraturan-peraturan Allah dan menurut akal mereka, sebenarnya mereka menguncikan diri mereka di dalam sangkar. Inilah hakikat kehidupan manusia. Sehinggalah mereka dapat melihat ketika menghadapi sakaratul maut, baru mereka akan sedar. Ketika itu, ia sudah tidak berguna lagi.

Apabila seseorang itu mencintai harta, maka dia akan menjadi hamba kepada harta. Kalau dia mencintai pangkat, dia akan menjadi hamba kepada pangkat itu. Begitu juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara atau lain-lainnya, maka jadilah dirinya hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya, sesiapa yang mencintai Allah, dia akan bermujahadah dengan hawa nafsunya dan membebaskan diri dari belenggu yang mengikat rohaninya untuk mencintai Allah. Hanya kekasih Allah-lah memiliki hati yang mencintai-Nya, sentiasa mengingati-Nya, mencintai akhirat dan menangis kerana takut kepada-Nya. Pecah tumit kakinya kerana berdiri di malam hari menghadap Allah dengan rasa kehambaan. Perasaan kecintaan dan kehambaan yang tinggi kepada Allah menyebabkannya mengambil kehidupan dunia dengan amat sederhana.

Islam telah berjaya menguasai dunia dan menjadi model kepada kehidupan manusia. Islam telah menjadi kuasa yang amat ditakuti dan disegani kerana bukan sahaja menjadi contoh dalam aspek kerohanian tetapi juga dari segi akhlak peribadi dan pendidikan anak-anak. Rumahtangga orang Mukmin tertumpu kepada tujuan mencari cinta Allah. Suami menjadi pemimpin isteri, manakala isteri menjadi penasihat kepada suami dan mendidik anak-anak. Malah Islam telah berjaya melahirkan generasi contoh dalam pengurusan kehidupan manusia seperti dalam urusan ekonomi, politik, pentadbiran negara, intelektual, sosial dan sebagainya. Generasi ini menterjemahkan Islam yang syumul secara praktikal dan membicarakan permasalahan kehidupan manusia seperti kesucian diri dari hadas kecil hingga kepada kesucian pentadbiran negara dan dunia.

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk melahirkan kembali generasi contoh yang hebat ini melainkan mengikuti kembali jalan-jalan mereka, peribadi, akhlak, ibadah, mujahadah dan pengorbanan jihad mereka. Mereka telah dididik oleh Rasulullah SAW dengan keimanan makrifatullah, keimanan yang hakiki. Diwajibkan ke atas mereka melakukan Qiamullail untuk melahirkan kecintaan kepada Allah, hati yang hidup dengan Allah. Mereka ditarbiyah dengan sentiasa membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis tazkirah untuk melahirkan dan menguatkan perasaan cinta kepada Allah. Kecintaan mereka ialah kecintaan kepada hati yang dzauq dan tubuh badan yang sihat. Segalanya berpunca dari hati sebab itu hati mestilah diutamakan dalam pendidikan manusia.

TEMAN SEJATI

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung
wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70
kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut,
nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi
oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib,
manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia
tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat
Izrail.



Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang
masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa,
seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan
dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah
seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak
memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan
sebaliknya banyak pula melakukan dosa.



Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya:



Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka
bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang
merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang
gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya
aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah
Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih
berseronok-seronok dan bergelak ketawa.



Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa
diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang
soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini
tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran
malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti
hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai
perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal
mati dan hubungannya dengan malaikat maut.



Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang
nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat
maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam
ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.



Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk
yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai
kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang
menganggapkematian itu adalah suatu tabie biasa
sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang
pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab
yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak
kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti
diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti
banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan
samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan
jalan raya.



Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan
oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit
barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan
sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya
dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia
sering mengaitkan kematian itu dengan
kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku
kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya,
sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau
kemalangankah?.



Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu
dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada
saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat
maut sentiasa berligar di sekeliling manusia,
mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh
hayatnya sudah tamat.



Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah
SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya
untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh
orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika
Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku
kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka
Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian
tersebut.



Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun
orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai
kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya
tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau
mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka
kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.



Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan
berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu
ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang
ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan
menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar,
kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan
manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan
menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat
sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan
kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah
bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang
muflis di akhirat kelak.



Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan
kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi
peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya
mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari
berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan
meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal
datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan
yang tidak berguna.



Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang
ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa
Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya
bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh
dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih
dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap
dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran
terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat
orang yang tidak menyedari adanya bahaya di
hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya
dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.



Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab
kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat
maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a
dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain
menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila
dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk
bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu
termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih
Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan
orang-orang solihin.



Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan
betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam
a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan
mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan
berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan
orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.



Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan
berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui
oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu
akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan
sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila
berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu
itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana
mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan
malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.



Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia
tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran
malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT
pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu
bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah
tiba.



Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan
Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya
adalah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian
pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah
tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti
yang diamanahkan kepadanya.





Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala
untuk menentukan kematian seseorang itu samada
bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan
pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat
maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia
yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan
seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa
hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa
kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang
yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan
segar-bugar